0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

TRW tanpa 'kereta kebal'

| Khamis, 20 Jun 2013

Kota Bharu: Kelantan akan turun tanpa kelibat pemain pertahanan kental yang juga dianggap sebagai 'kereta kebal', Mohd Daudsu Jamaluddin kerana mengutip enam kad kuning menjelang pertemuan Liga Super menentang pasukan jiran, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Selain Mohd Daudsu, seorang lagi pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim juga tidak dapat diturunkan kerana turut digantung satu perlawanan selepas mengutip enam kad kuning dalam perlawanan sebelum ini.
 
Skuad kendalian Bojan Hodak itu dilihat semakin parah selepas pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin juga mungkin tidak dapat diturunkan dalam perlawanan malam ini kerana masih dibelenggu masalah kecederaan buku lali.


Daudsu berharap rakan sepasukan dapat beraksi pada tahap terbaik dalam perlawanan malam ini dan mampu memberi mata kepada skuad The Red Warriors (TRW).

Harus sekat Penyu

"Saya yakin pemain yang bakal menggantikan tempat saya dan Nik Shahrul (Azim) di barisan pertahanan dapat bermain baik dan sekali gus tidak memberi tugas mudah kepada barisan serangan Terengganu melancarkan serangan.

"Kelantan sangat memerlukan kemenangan dalam baki empat perlawanan liga untuk memperbaiki kedudukan dan sebagai pemain, memang tidak dinafikan perasaan kecewa apabila tidak dapat membantu pasukan di saat khidmat kita diperlukan," katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, ketiadaan dua tonggak pertahanan itu sedikit membimbangkan tetapi yakin Hodak ada ramuan terbaik memperkuatkan barisan pertahanan.

"Memang tidak dinafikan ketiadaan Daudsu dan Nik Shahrul Azim sedikit tambahan Indra Putra yang mungkin tak dapat diturunkan. Tapi kami masih ada ramai ramai pemain hebat menggantikan tempat mereka. Saya juga yakin, Hodak akan membuat perubahan terbaiki memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong dari Kuala Terengganu," katanya.

0 komen:

Catat Ulasan