Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang

Tunang atau dalam bahasa Arab disebut khitbah adalah hasrat seorang lelaki untuk menjadikan seorang perempuan sebagai isterinya atau secara ringkasnya suatu perjanjian untuk mendirikan rumah tangga.
Perjanjian juga dianggap sebagai suatu kontrak sebelum memasuki alam pernikahan, iaitu apabila pihak lelaki mengemukakan hasrat untuk mengahwini pihak perempuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui orang tengah atau perantaraan.

Disyaratkan juga perempuan itu bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT: "Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf." (Surah al-Baqarah, ayat 234-235)

Mengikut adat orang Melayu, jika seorang lelaki berkenan kepada seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibu bapanya. Maka ibu bapa lelaki atau saudara-maranya akan bertandang ke rumah perempuan untuk memaklumkan kepada ibu bapa perempuan hasrat lelaki itu.

Bukan tiket hubungan bebas

Kebiasaannya, sebentuk cincin merisik akan dibawa ketika bertandang. Sewaktu merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan diadakan, seperti tarikh dan tempat majlis pertunangan diadakan.
Hikmah bertunang adalah untuk membuka jalan perkenalan antara pasangan, mengenali hati budi masing-masing, menyuburkan rasa cinta kerana perkahwinan hendaklah diasaskan kepada cinta antara satu sama lain dan memastikan jiwa serta emosi pasangan yang bertunang stabil.

Namun, ikatan pertunangan bukanlah bermakna ia tiket membenarkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menyegerakan akad perkahwinan jika didapati ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas antara pasangan yang bertunang.

Secara amnya Islam telah menggariskan syarat yang sepatutnya dimiliki setiap pasangan yang berhasrat untuk bertunang. Lelaki yang mengemukakan hasrat bertunang wajiblah seorang yang berakal, beragama Islam dan telah akhil baligh.

Lelaki itu juga harus dipastikan orangnya, supaya tidak keliru dengan orang yang mempunyai nama sama. Disyaratkan juga lelaki itu hendaklah seorang lelaki yang tidak mempunyai empat isteri.

Syarat pada pihak perempuan juga hendaklah beragama Islam, pasti orangnya, terutama sekali apabila perempuan itu mempunyai ramai adik-beradik perempuan dan halal bagi lelaki yang ingin meminangnya.

Wanita yang haram dikahwini

Perempuan yang diharamkan dikahwini dijelaskan dalam firman Allah SWT: "Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya." (Surah al-Nisa, ayat 32)

Perempuan itu juga hendaklah bukan di dalam edah cerai hidup atau cerai mati, dan hendaklah bukan isteri kepada lelaki lain. Mana-mana pertunangan yang diadakan dengan perempuan yang telah bersuami, ia adalah tidak sah dan terbatal.

Lelaki yang menjalin hubungan dengan seorang perempuan sedangkan dia mengetahui perempuan itu adalah isteri seseorang, lalu menyatakan kesediaan untuk mengambil 'kekasihnya' itu sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya, juga termasuk dalam konteks meminang yang dilarang syarak.

'Peminangan' sedemikian akan mendorong perempuan itu meminta cerai daripada suaminya, sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Islam melarang seorang isteri meminta cerai daripada suaminya, tanpa sebab yang diharuskan syarak.

Sabda Rasulullah SAW: "Mana-mana perempuan yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah ke atasnya bau syurga." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Disyaratkan juga perempuan itu bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki atau dipersetujui pihak lelaki, yakni lelaki bersedia memutuskan pertunangan itu.

Tuntutan ganti rugi pertunangan

Memutuskan ikatan pertunangan tanpa sebab yang sah boleh menyebabkan tindakan ganti rugi pertunangan dikemukakan di Mahkamah Syariah. Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 1992) memperuntukkan: "Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah."

Menaruh minat terhadap perempuan yang telah bertunang juga adalah suatu perkara yang perlu dielakkan. Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan tunangan orang boleh menyebabkan perbalahan, pergaduhan, perpecahan dan boleh memutuskan silaturahim.

Islam melarang keras perbuatan memutuskan silaturahim. Sabda Nabi SAW: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim." (Riwayat Muslim)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.