0htehtarik - sumber rujukan percuma dan terkini

Beri gambaran awal kepada anak

| Isnin, 7 Januari 2013

Setiap kali penggal baru persekolahan bermula, pasti berlaku perubahan kepada anak-anak sama ada bersekolah di tempat baru, menerima guru atau rakan baru, malah perbezaan dalam sistem pembelajaran terutama berubah darjah atau tingkatan.

Suasana ini pastinya satu saat yang ditunggu-tunggu bukan saja ibu bapa, malah anak yang pastinya berdebar-debar menjejaki ke alam baru dalam pembelajaran dan pergaulan harian mereka.
Bagi anak dari sekolah rendah ke menengah, tentu ada yang berasa keliru, tertanya-tanya dan tidak sabar melangkah ke alam remaja, sekali gus menjadikan mereka maju setapak lagi sebagai pelajar yang menjadi kebanggaan ibu bapa dan harapan guru di sekolah.


Apa juga persiapan dilakukan perlulah merangkumi persediaan mental dan fizikal kerana cabaran bakal dihadapi berbeza ketika belajar di sekolah rendah berbanding ke tahap menengah atau mereka yang duduk di rumah tetapi kini tinggal di asrama.

Sebagai ibu bapa pula apakah jenis persediaan yang perlu dilakukan? Perlukan ibu bapa membuat persediaan minda sebagai mana yang dialami anak?

Bagaimana sebagai ibu bapa mereka memastikan anak bergaul dengan rakan tanpa ada gejala atau unsur negatif meresapi anak mereka seperti masalah disiplin?

Bagi Nor Alia Liew Abdullah, 42, beliau agak teruja melihat anak bongsunya, Sheikh Razin Naif Sheikh Nora Fizul Afandi, 13, menjejaki alam persekolahan menengah meskipun sedikit gusar apabila memikirkan mengenai pelbagai gejala disiplin yang kebelakangan ini banyak dilaporkan di media massa.
Beliau mahu memastikan anaknya belajar dalam suasana positif, selain mempunyai rakan sebaya yang membawa pengaruh baik.

Anak saya agak pendiam dan tidak banyak bercakap. Apabila masuk ke sekolah menengah kerana dia akan bertemu rakan baru, persekitaran baru dan guru juga baru.

Tentu ada perubahan dalam jadual pembelajarannya nanti dan sebagai ibu tugas kita bantu suntik semangat supaya sedia melalui pengalaman baru.

Ia mungkin menyeronokkan kerana mereka sudah menjadi pelajar sekolah menengah atau melangkah ke alam remaja, katanya ketika ditemui menemankan anak menyelesaikan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baru di Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Long, Cheras, minggu lalu.

Lebih merisaukan apabila kini banyak gejala negatif membabitkan remaja di sekolah menengah.

Saya kira di mana-mana pun ada ada berlaku masalah disiplin. Jadi saya mempersiapkan dia dengan situasi sekiranya dia mengalami sebarang masalah pergaulan dengan rakan di sekolah, dia tidak boleh berdiam diri.

Paling saya ingatkan ialah sekiranya berlaku pergaduhan atau perkara tidak diingini di sekolah, jangan babitkan diri dan jika dia dibuli, segera memberitahu guru, katanya.

Bagi gambaran awal

Begitupun, Nor Alia yakin anaknya boleh menangani situasi alam persekolahan menengah kerana beliau juga turut menerangkan dan memberi gambaran kasar kepada anaknya mengenai sesi orientasi atau suai kenal di sekolah.

Beliau yang juga pengusaha TASKA dan TADIKA di Mahkota Cheras, berkata kadang kala laporan dan paparan di akhbar mengenai kes buli atau samseng membabitkan pelajar menengah di negara ini membuatkan beliau berfikir panjang mengenai masa depan pelajar yang terbabit dengan gejala itu.

Saya mempunyai dua anak lelaki yang sedang membesar. Jadi perkara berkenaan kadang kala muncul dalam minda saya. Saya menasihati Razin supaya jangan biarkan dirinya dibuli, sebaliknya jika berlaku hal tidak diingini, beritahu guru dan elak berkawan dengan rakan yang tidak membina.

Anak seperti rakan

Katanya, menangani anak remaja tidak sama dengan anak yang belajar di sekolah rendah kerana persekitaran dan suasana pembelajaran adalah berlainan. Sehubungan itu, cabaran mahupun tekanan dihadapi juga tidak sama.

Mungkin ada baiknya juga menjadikan anak seperti kawan dan tidak terlalu kongkong kegiatan anak, tapi pada masa sama memantau supaya anak tidak tersilap langkah.

Saya yakin dia akan seronok menghadapi alam persekolahan peringkat menengah kerana dia akan berjumpa rakan baru dan bernasib baik juga kerana abangnya bersekolah di sekolah sama. Jadi dia boleh meminta tunjuk ajar abangnya jika tidak pasti mengenai sesuatu di sekolah berkenaan, katanya.

Anak buat keputusan

Bagi Muzlina Abd Muaz, 40, melepaskan anak bongsu bersekolah di asrama penuh adalah suatu perkara yang agak merisaukan memandangkan anaknya, Muhammad Imran Elias, 13, tidak pernah berpisah dengan keluarga.

Dia membuat pilihan sendiri untuk meneruskan Tingkatan Satu di sekolah asrama kerana mahu belajar berdikari. Saya beri dorongan dan yakin boleh menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Memang sebelum ini ketika bersama keluarga, dia tidak biasa melakukan tugas seperti membasuh dan menggosok pakaian sekolahnya. Selepas ini apabila tidak lagi bersama saya, dia perlu melakukannya sendiri, katanya mengulas mengenai Imran yang begitu teruja untuk mula belajar di Kolej Yayasan Saad (KYM), Melaka.

Muzlina sedikit risau sekiranya anak tidak boleh mengikuti rentak dan sistem pelajaran di sekolah berasrama memandangkan ketika belajar di sekolah rendah, tiada pengurusan masa yang perlu diikuti.

Apabila masuk ke sekolah berasrama, dia perlu menguruskan masa dengan betul, menguruskan diri sendiri dan mesti menumpukan pada pelajaran kerana tiada alasan untuk mengabaikan pelajaran selain suasana persekitaran juga sangat kondusif untuk belajar, katanya.

Muhammad Imran berkata, beliau memilih sekolah berasrama kerana ingin belajar berdikari walaupun sebelum ini agak keliru sama ada ingin memilih meneruskan pelajaran di tingkatan satu di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atau di KYS.

Saya membuat kajian di internet, bertanya rakan dan mendapatkan beberapa sumber lain mengenai kedua-dua sekolah. Sama ada sekolah asrama atau tidak, yang penting saya sebagai pelajar yang perlu berusaha dan belajar bersungguh-sungguh.

Saya tahu sekolah berasrama mungkin ada lebih banyak cabaran. Sekolah yang saya pilih ini, kedua-duanya bagus tapi saya pilih KYM kerana ia lebih dekat dan memudahkan mama menjenguk saya, katanya.

0 komen:

Catat Ulasan